Buat pengunjung yang dihormati sekalian. Segala coretan yang terkandung didalam blog ini adalah berdasarkan pengalaman penulis berniaga. Ia tidak ditiru atau diambil daripada mana-mana laman web atau blog lain. Jika ada persamaan, ia hanyalah secara kebetulan dan tidak dirancang.

Anda berhak mengambil sebarang artikel disini, tetapi biarlah secara berhemah dengan membuat backlink atau pautan semula ke alamat atau url asal.

Segala tips dan panduan adalah berdasarkan idea penulis sendiri dan tidak semestinya betul dan berjaya diikuti. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan pada bahagian komen. Ini hanyalah sebuah blog untuk tujuan perbicangan. Ramai lagi yang arif tentang selok belok perniagaan di luar sana. Sekian..

Thursday, 12 April 2012

Program pertukaran link



Maaf kerana sudah beberapa hari tiada entri baru. Blog yang menceritakan hal yang serius agak sukar ditulis dan kadangkala memerlukan kajian. Untuk entri kali ini, tiada sebarang artikel mengenai perniagaan. Tetapi saya ingin membuka peluang kepada anda untuk membuat pertukaran link dengan blog yang tidak seberapa ini. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf kerana tidak membuat pertukaran link di bahagian sidebar.

Untuk membuatnya kelihatan lebih kemas, program pertukaran link ini saya letakkan di halaman khusus. Sesiapa yang berminat untuk membuat pertukaran link, bolehlah meletakkannya dibahagian komen dengan format berikut :

Site Description
Url blog


Contoh :

Diskusi Perniagaan
http://diskusiniaga.blogspot.com

Posting di halaman tersebut akan dikemaskini mengikut turutan komen. Link akan disenaraikan di halaman ini :
http://diskusiniaga.blogspot.com/p/rakan-blogger.html

Ini hanyalah program untuk SEO. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa perlunya membuat backlink secara manual sedangkan sudah ada Mr Linky di halaman utama. Untuk pengetahuan anda semua, Mr Linky tidak mempunyai apa-apa manfaat untuk SEO. Ia hanyalah widget untuk meninggalkan jejak. Sama seperti chatbox yang ada di blog ini.

Jadi jika anda ingin meningkatkan SEO di blog masing-masing, bolehlah meninggalkan komen mengikut format yang saya nyatakan diatas dengan syarat, anda juga haruslah membuat backlink semula ke blog ini.

Sunday, 8 April 2012

Perniagaan paling menguntungkan di pasar malam



Sebenarnya aku dah tiada idea untuk menulis (maaf guna gantinama aku kali ni). Kalau nak tahu perniagaan apa yang paling menguntungkan tapi paling berisiko di pasar malam, dah tentulah berniaga CD /VCD/DVD cetak rompak. Entri kali ni bukan bermaksud untuk menggalakkan anda semua berniaga barang larangan tersebut, tetapi sekadar ingin berkongsi maklumat.

Pendapatan bersih si peniaga ni tidak kurang daripada RM1000 sehari. Kos untuk "burning" atau membuat "duplication" termasuk cetakan di media tersebut dan pembungkusan cuma seringgit lebih. Jual semula pada harga RM5/RM6 sekeping. Permintaan memang amat menggalakkan dan pelanggan tidak putus-putus membeli. Dalam satu pasar malam terdapat lebih daripada 2 kawasan peniaga yang dikawal oleh TONTO.

Maka tidak hairanlah peniaga CD ni sukar untuk cuti, kerana mereka akan kehilangan RM1000 sehari. Waktu cuti mereka ialah pada perayaan besar ataupun ketika pihak KDN membuat operasi besar-besaran. Setakat polis memang mereka tidak hairan kerana pihak polis pelanggan mereka juga.

Kaedah yang dijalankan untuk mengekang penjualannya tidak memberi sebarang kesan, seolah-olah melepaskan batuk ditangga. Panas sekejap, kemudian sejuk semula. Inilah salah satu perniagaan yang tidak memerlukan lesen kerana lesen memang tidak akan dikeluarkan pun.

Pihak yang bertanggungjawab untuk membendung penjualannya pula bertindak menutup sebelah mata. Termasuklah pengamal undang-undang sendiri dan pihak pengurusan pasar malam. Cuma yang agak tegas untuk tidak membenarkan penjualan bahan ini ialah di pasar malam Wangsa Maju. Memang tiada satu pun peniaga CD yang kelihatan.

Masalah pembelian CD/VCD/DVD cetak rompak bukan kerana tidak mengetahui ianya sesuatu yang salah,  tetapi kerana kurangnya penghargaan terhadap penciptanya disamping faktor kos yang lebih murah.

Adakah anda rasa masalah ini dapat diatasi sedangkan anda sendiri termasuk juga saya masih teruja membeli bahan-bahan cetak rompak ini ?

Friday, 6 April 2012

Berniaga mengikut kemampuan



Jika nak berniaga, kena ukur kemampuan diri. Kemampuan ni termasuklah dari segi kewangan atau modal, tenaga dan pekerja.

Untuk modal, pastikan dengan modal yang ada anda mampu bertahan selama sekurang-kurangnya 3 bulan (Setahun lebih baik). Buka perniagaan hari ini bukan bermakna anda akan dapat berpuluh-puluh atau beratus-ratus pelanggan. Kadangkala memerlukan masa. Bermula dengan seorang pelanggan, anda berkomunikasi dan berhubung baik dengan pelanggan itu dan juga pelanggan yang seterusnya. Buat seolah-olah mereka itu terlalu istimewa untuk anda. Yakinkan mereka bahawa produk anda lebih baik daripada pihak pesaing anda. Dengan komunikasi yang baik ini, pelanggan anda akan bertambah dari hari ke sehari. Kemesraan yang anda tunjukkan itu membuatkan mereka kembali, walaupun mereka mungkin tidak berapa memerlukan produk anda. Mereka datang sebab mereka suka dengan anda.

Kecenderungan untuk mengubah-ubah jenis perniagaan kerana melihat perniagaan orang lain lebih berjaya. Ini memang banyak berlaku terutamanya untuk peniaga baru. Jika boleh, berniagalah mengikut pengalaman, kemampuan dan modal. Jangan berniaga berpandukan modal pinjaman seratus-peratus. Lebih elok jika modal itu adalah hasil wang tabungan anda sendiri.

Dari segi tenaga pula, adakah anda mampu mengendalikan perniagaan itu? Jika perniagaan yang memerlukan anda memasak, adakah anda sanggup menghadap panas kuali? Adakah anda mampu bersabar jika menerima tempahan yang tidak putus sedangkan kemampuan anda terbatas. Jika perniagaan berkaitan masakan, memang biasanya anda akan letih kerana terpaksa bekerja tidak putus-putus berbanding dengan perniagaan  barang yang telah siap diproses. Jika anda seorang yang kurang aktif dan malas bergerak, perniagaan masakan ini bukanlah pilihan terbaik melainkan anda mengupah seorang pekerja.

Jika anda ingin mengambil pekerja pula, lihat dulu permintaan pasaran yang ada. Adakah perlu anda menggajikan pekerja? Mampukah anda membayar pekerja tersebut dengan hasil jualan yang diperolehi. Pengambilan pekerja ini haruslah dibuat jika sesuatu kerja itu berada diluar kemampuan anda.

Nampak agak sukar untuk menjadi peniaga. Tetapi gunalah pepatah, berakit-berakit kehulu, berenang-renang ketepian. Kaum Cina terkenal sebagai kaum peniaga yang sanggup bersusah-payah untuk generasi akan datang yang disertakan dengan strategi jangka panjang. Berniaga bukan sekadar untuk menampung sara hidup keluarga semata-mata, tetapi ia juga untuk memartabatkan maruah bangsa dan agama.

Wednesday, 4 April 2012

Tarik pelanggan melalui strategi


Strategi memainkan peranan yang penting bagi menarik pelanggan anda. Tanpa strategi yang berkesan, sukar untuk anda menawan pelanggan. Dibawah ini terdapat beberapa strategi yang boleh anda gunakan untuk memikat pengunjung. Dipetik daripada kenyataan Irfan Khairi - Majalah Solusi Isu 24

Tinggi Kualiti

Menjual produk yang berkualiti dapat menjamin kejayaan sesuatu perniagaan. Produk berkualiti rendah walaupun harganya murah akan menyebabkan pelanggan rasa tertipu. Cerita mengenai kualiti produk anda juga mudah tersebar kepada bakal pelanngan anda. Produk yang berkualiti tinggi dan sentiasa ditambah baik dapat memberi keuntungan untuk jangkamasa panjang.

Servis dan perkhidmatan terbaik

Servis dan perkhidmatan mestilah sempurna dan pantas. Jangan lengahkan penghantaran jika perniagaan anda melibatkan perkhidmatan ini. Jika sesuatu barangan itu rosak, jangan sesekali memberikan pelbagai alasan sedangkan anda tahu ia berpunca daripada anda.

Tawaran harga

Dalam persaingan perniagaan, permainan harga memang menjadi salah satu kunci kejayaan. Harga yang ditawarkan mestilah munasabah. Pelanggan kini lebih suka membandingkan harga dan pastinya membeli sesuatu yang lebih murah untuk produk yang sama.

Beri lebih daripada apa yang disangka

Pelanggan tentunya gembira apabila mendapat sesuatu barangan yang lebih daripada apa yang diiklankan. Memberi lebih tidak akan merugikan anda kerana ia menjadikan pasaran anda lebih luas. Pelanggan yang gembira dan berpuas hati akan berkongsikan pengalamannya kepada rakan-rakan yang lain.

Jadi ketua pasaran

Ketua pasaran disini bermaksud anda menjadi yang pertama mencipta sesuatu produk. Jenama-jenama seperti Colgate, Kodak, Pampers dan sebagainya. Jika diperhatikan, jenama-jenama ini akan menjadi sebutan walaupun membeli barangan jenama lain. Sebelum munculnya teknologi digital, kamera yang menggunakan filem amat popular. Apabila ingin membeli filem baru, Kodak yang akan disebut. Itulah ketua pasaran.

Monday, 2 April 2012

Peniaga pasar malam tarafnya rendah



Melihat kepada gaya si peniaga yang selekeh, ditambah dengan kenderaan niaga buruk yang mereka gunakan, mesti ramai yang memandang rendah golongan peniaga sebegini. Rata-rata peniaga akan menggunakan kenderaan model lama seperti nissan c20 yang macam nak tercabut pintu dan bonetnya. Saya sendiri tertanya-tanya mengapa mereka yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan ini amat lokek untuk mengeluarkan belanja membeli kenderaan niaga yang baru.

Ada diantara peniaga yang membuka lebih daripada 1 cawangan. Katakanlah dalam sehari peniaga tersebut membuka 3 cawangan yang mana masing-masing mempunyai kenderaan niaga sendiri.  Untuk kos kenderaan buruk seperti gambar diatas berharga sekitar RM2000 ke RM3000 lebih. Jika menggunakan 3 kenderaan untuk 3 cawangan kosnya tidak pun melebihi RM10 000.

Jika ada yang memperlekehkan peniaga seperti ini, cuba anda fikirkan. Kebiasaannya untuk peniaga yang mampu bertahan lama dalam industri ini memperolehi pendapatan bersih tidak kurang daripada RM150. Katakanlah minimum RM100 bersih untuk sehari. Itu yang saya sebutkan minimum.

Saya pernah bertanyakan penjual nasi lemak yang membuka 2 cawangan sehari, 7 hari seminggu tanpa cuti dia memperolehi tidak kurang dari RM7000 sebulan. Maksimum yang diperolehinya RM10 000++. Ya. Dia juga berniaga menggunakan kenderaan buruk seperti diatas.

Kepada peniaga atau lebih tepat lagi disebut penjaja, memang kelihatan "low profile" kerana mereka rasakan tidak perlu berbelanja lebih untuk sesuatu yang tidak perlu. Kenapa perlu berhutang untuk kenderaan baru walhal dapat membeli kenderaan buruk yang masih boleh digunakan secara tunai. Tidak perlu juga berpakaian terlalu kemas kerana akhirnya mereka tetap akan berpeluh akibat panas dan basah kuyup apabila hujan turun. Masa berniaga yang tidak panjang juga (4 hingga 5 jam sehari) membolehkan peniaga menguruskan hal-hal yang lain.

Apa yang saya tuliskan disini, bukanlah untuk berbangga dan riak sebagai peniaga pasar malam kerana saya tidaklah sampai tahap peniaga nasi lemak tersebut. Tapi apa yang saya perolehi sekarang sebagai peniaga lebih lagi daripada apa yang saya perolehi ketika makan gaji dengan orang lain. Semoga apa yang saya tuliskan disini dapat membuka minda segelintir individu yang masih lagi bekerja untuk menceburi bidang perniagaan.

Seperti posting saya yang terdahulu, saya kini bebas untuk menguruskan waktu saya sendiri. Sentiasa ingat, bidang perniagaan mempunyai risiko. Saya sendiri juga membuat "try & error". Bukan sekali meniaga terus berjaya. Sentiasa sabar dan kaji kelemahan.

Sunday, 1 April 2012

8 cara mengenal skim penipuan



Masa tengah kemas-kemas bilik tadi, saya terjumpa satu risalah mengenai cara untuk mengenal  skim penipuan. Risalah ini diterbitkan untuk Program Celik Kewangan SIDC. Berpandukan ciri-ciri skim penipuan ini anda akan dapat mengenalpasti sama ada suatu skim pelaburan itu adalah sah atau sebaliknya.

Ciri 1 : Jaminan pulangan yang tinggi - Untuk setiap pelaburan yang dibuat, anda menerima  pulangan yang tinggi. Contohnya 20-30% sebulan.


Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek.

Anda mesti ingat bahawa setiap pelaburan mempunyai risiko dan anda tentu selalu dengar bahawa, "kalau risikonya tinggi, pulangannya juga tinggi.". Ambil langkah berjaga-jaga terutama jika pelaburan itu kononnya akan memberi pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tiada risiko langsung.

Ciri 2 : Anda perlu mencari downline - Anda tidak pernah ditunjukkan produk yang kononnya berkualiti yang perlu dijual, sebaliknya dibayar mengikut bilangan orang yang dilatih atau mendaftar diri.

Berhati-hati dengan pelan yang membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya untuk menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah "downline" atau "piramid".

Ciri 3 : Peluang pelaburan untuk masa yang terhad sahaja - Anda diberitahu bahawa peluang pelaburan itu hanya untuk tempoh terhad dan anda MESTI melabur sekarang.


Jangan sesekali bersetuju menyertai apa-apa peluang pelaburan dalam keadaan tergesa-gesa. Contohnya, "tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad" atau "melabur sekarang, jika tidak anda akan menyesal".
Ingatlah, jika perniagaan itu sah, ia akan tetap wujud esok, minggu hadapan, bulan hadapan atau tahun hadapan.

Ciri 4 : Tuntutan hadiah lumayan - Anda diminta memasukkan wang dalam mata wang asing kedalam bank diluar negara tetapi anda tidak ingat pun pernah masuk sebarang pertandingan atau cabutan bertuah.


Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan atau peraduan. Jika anda menerima panggilan yang mengatakan bahawa anda telah memenangi satu hadiah lumayan tetapi perlu mengirim sejumlah wang ke sebuah negara asing untuk menuntut hadiah tersebut, letakkan telefon, jangan buang masa dan tenaga untuk melayan panggilan sebegini.

Ciri 5 : Panggilan telefon yang tidak diundang - Anda menerima panggilan telefon menawarkan peluang-peluang pelaburan dan anda sendiri tidak tahu bagaimana syarikat itu mendapat nombor telefon anda.


Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang anda tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan diluar negara, minta nama pihak kawal selia asing yang berkaitan yang melesenkan syarikat itu dan layari laman webnya untuk mendapatkan senarai mereka yang berdaftar atau yang dilesenkan. Anda mesti sentiasa memeriksa bukti kelayakan individu yang dilesenkan dengan pihak berkuasa berkenaan sebelum menyerahkan wang anda.

Ciri 6 : Untung besar tanpa sebarang risiko - Anda ditawarkan satu produk pelaburan yang menjamin keuntungan besar tanpa sebarang risiko kewangan.


Pastikan anda memperolehi rekod prestasi syarikat tersebut. Mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus dan laporan tahunan syarikat sebelum melabur.

Ciri 7 : Sukar menemui maklumat syarikat - Alamat dan maklumat syarikat pelaburan yang menawarkan keuntungan besar itu terletak disebuah negara asing yang anda tidak dapat pastikan dimana kedudukan sebenarnya. Anda juga sukar mendapatkan sebarang maklumat mengenai lesen syarikat tersebut.


Elakkan daripada memberi sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan kesahihan syarikat tersebut. Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda tanyakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak benar-benar fahami.
Jika ragu-ragu, jangan melabur.Pastikan anda mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual/ejen, atau pelaburan tersebut.

Ciri 8 : Syarikat dagangan asing - Anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai ejen bagi syarikat dagangan asing (umpamanya yang beribu pejabat di Macau, Bahamas, Kepulauan British Virgin, dsb.) untuk berdagang dalam indeks asing (contohnya, indeks Hang Seng), komoditi (contohnya kopi) atau matawang asing (contohnya, AS$, Yen dsb) tetapi anda perlu mendepositkan sejumlah wang dalam matawang asing sebagai "margin" sebelum sesuatu urusniaga boleh dilakukan.


Sentiasa periksa laman web pengawal selia, contohnya laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia www.sc.com.my untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat yang dilesenkan sebelum melabur.

Saturday, 31 March 2012

Peniaga bebas menguruskan masa



Sebagai peniaga, anda bebas untuk melakukan apa sahaja yang diingini. Anda tidak terikat dengan syarat-syarat pekerjaan. Tiada istilah cuti sakit, cuti kecemasan (emergency leave), kerja lebih masa dan sebagainya. Tetapi harus diingat, sehari anda cuti bermakna sehari anda tiada pendapatan. Cuti yang kerap juga menjadikan anda seorang peniaga yang tidak berkualiti. Anda mempunyai produk yang bagus. Tetapi kerana anda tidak mempunyai disiplin berniaga, pelanggan mungkin lebih gemar berurusan dengan pesaing anda ataupun mereka sanggup memboikot anda untuk jangkamasa yang panjang.

Hal ini pernah berlaku kepada saya juga. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa menutup sementara perniagaan (pasar malam) untuk satu masa yang agak panjang. Ketika masalah tersebut dapat diatasi, saya memulakan kembali perniagaan seperti biasa. Apa yang terjadi? Hasil jualan merosot sehingga separuh daripada biasa. Hal ini berlarutan sehingga beberapa minggu. Pelanggan tetap saya hanya pandang dan berlalu tanpa membuat pembelian seperti kebiasaannya. Dari situ saya tahu bahawa saya telah diboikot.

Jika anda mampu, seeloknya anda menggajikan seorang pekerja. Jadi anda boleh menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun dengan ketidak hadiran anda dilokasi. Namun bukan mudah untuk mencari pekerja yang jujur dan amanah apatahlagi jika melibatkan wang ringgit didepan mata.

Wednesday, 28 March 2012

Peniaga dan pembeli saling memerlukan



Dalam aktiviti jual beli, Sepatutnya kedua-dua pihak mendapat untung dan bukan di pihak peniaga semata-mata. Apa yang saya maksudkan disini, peniaga tidak harus mengambil keuntungan berlebih-lebihan. Ini dikhuatiri menjadikan rezeki yang diperolehi menjadi haram.

Di pihak pembeli, mereka mendapat keuntungan jika harga yang ditawarkan munasabah dan mereka tidak perlu bersusah-payah untuk mendapatkan produk yang diingini. Dengan bilangan penduduk yang semakin bertambah dan kawasan tanah yang semakin mengecil bayangkan jika pengguna terpaksa sebagai contoh, ingin makan ayam terpaksa bela ayam, ingin makan lembu terpaksa bela lembu, ingin pula makan sayur, terpaksa pula tanam sayur. Keupayaan manusia adalah terhad. Jadi dengan berniaga, secara tidak langsung peniaga tersebut telah membantu si pembeli.

Peniaga yang memfokuskan satu bidang sahaja, menjadikan bidang perniagaan yang diceburinya semakin bertambah baik dan berkualiti melalui kajian dan proses "try and error" yang dilalui. Jika barang yang anda niagakan kurang mendapat sambutan, cuba kaji kelemahan produk atau servis anda dengan memberikan sampel kepada rakan-rakan, jiran ataupun sesama peniaga. Kadangkala kita rasakan produk kita sudah terbaik tetapi tidak pada pelanggan. Jika anda mendapat pelanggan yang berulang (repeating customer), bermakna anda boleh berbangga dengan produk yang anda niagakan. Tetapi jika pelanggan anda sekali sahaja singgah di premis anda, bermakna produk atau servis yang anda berikan kurang bermutu. Jadi cuba perbaiki.

Berniaga merupakan satu sistem kehidupan. Berhentinya perniagaan bererti sistem kehidupan manusia juga terhenti. Tanpa perniagaan, tidak wujud pekerjaan,

Tinggalkan link anda disini