Buat pengunjung yang dihormati sekalian. Segala coretan yang terkandung didalam blog ini adalah berdasarkan pengalaman penulis berniaga. Ia tidak ditiru atau diambil daripada mana-mana laman web atau blog lain. Jika ada persamaan, ia hanyalah secara kebetulan dan tidak dirancang.

Anda berhak mengambil sebarang artikel disini, tetapi biarlah secara berhemah dengan membuat backlink atau pautan semula ke alamat atau url asal.

Segala tips dan panduan adalah berdasarkan idea penulis sendiri dan tidak semestinya betul dan berjaya diikuti. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan pada bahagian komen. Ini hanyalah sebuah blog untuk tujuan perbicangan. Ramai lagi yang arif tentang selok belok perniagaan di luar sana. Sekian..

Sunday, 28 August 2011

Ingin berniaga tapi tiada idea


Jika faktor modal bukan menjadi masalah besar buat anda, maka anda tidak mempunyai masalah untuk berniaga. Yang penting adalah kemahuan, minat dan usaha yang berterusan. Tidak seperti nenek moyang kita dahulu, kita kini dilahirkan didalam dunia yang serba berteknologi. Segala maklumat dapat kita perolehi di hujung jari sahaja.

Mungkin hanya masa yang kita perlukan berjam-jam dihadapan komputer untuk mencari sumber dan idea. Dengan hanya menaip kita boleh  mencari senarai pemborong barangan yang kita perlukan. Jika berniaga makanan pula, kita dapat mencari resipi jenis makanan yang ingin diniagakan.

Jika anda masih lagi berserabut atau malas untuk mencari melalui enjin carian, disini saya akan senaraikan beberapa laman web yang boleh anda layari.

Untuk peniaga makanan, dapatkan resipi untuk menu makanan anda di www.myresipi.com . Pelbagai jenis resipi boleh anda perolehi disitu. Buat kajiselidik dahulu dikawasan perniagaan pilihan anda. Kurangkan persaingan dengan memilih menu yang berlainan. Untuk pasar malam, harga memainkan peranan yang penting. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, rata-rata pengunjung membawa sejumlah wang yang terhad. Jadi pastikan kos untuk resipi tidak terlalu mahal tetapi mempunyai rasa dan rupa yang membangkitkan selera.

Satu lagi laman web yang boleh anda kunjungi ialah www.majalah.com. Terdapat ramai peniaga yang menawarkan servis seperti pemborongan, dan berjenis-jenis barangan lagi. Tapi awas, anda harus bijak menilai setiap individu yang menawarkan khidmat tertentu. Dunia maya ramai yang boleh menyamar.

Andai anda lebih berminat dengan bisnes pasar malam, anda boleh pergi terus ke topik yang berkaitan http://www.majalah.com/?classifieds:bisnes-pasar-malam


Ada banyak lagi laman web yang boleh anda layari jika anda rajin untuk meluangkan masa. Tiada kejayaan tanpa usaha. 


Selamat berniaga..

Permohonan lesen penjaja pasar malam

Ini hanyalah contoh lesen Bazar Ramadan
Kepada peniaga baru, anda tidak perlu tergesa-gesa untuk memohon lesen walaupun anda telah mempunyai tapak tetap di sesuatu kawasan. Yang paling utama, adakah produk anda sesuai dijual dikawasan tersebut. Jika lesen sudah dipohon dan anda berjaya mendapatkan lesen tersebut, tetapi jualan kurang memberangsangkan ia akan hanya menjadi sia-sia.

Lesen agak sukar untuk diperolehi tanpa saman atau kompaun. Ada sesetengah peniaga yang serius telah dikompaun berkali-kali baru dikeluarkan lesen. Jika anda berpuas hati dengan hasil jualan disesuatu tapak, anda perlu berjumpa dengan penganjur persatuan dan perlu menjadi ahli. Kemudian barulah anda pergi ke Pihak Majlis untuk memohon lesen disertakan dengan resit bayaran saman. Untuk memohon lesen dibawah DBKL, anda boleh pergi ke :

Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Peniaga Kecil
Tingkat 4 & 5, Menara DBKL 2
Jalan Raja Laut
50350 Kuala Lumpur.

Jika permohonan anda berjaya, anda akan diberikan surat tawaran (surat akan dipos kepada anda dalam tempoh 2 minggu++ ). Didalam surat tersebut akan dinyatakan status lesen, kategori lesen, jenis lesen, lokasi perniagaan, no petak atau gerai, ukuran gerai, jenis jualan, masa perniagaan dan tarikh kuatkuasa. Bayaran lesen adalah sebanyak RM52 setahun untuk satu petak.

Surat tawaran DBKL
Didalam surat tawaran tersebut juga ada dinyatakan peruntukan lesen seperti berikut :


Tuan/Puan hendaklah pada setiap masa hadir dan menjalankan atau mengawasi perniagaan di gerai, tidak dibenarkan memindah milik, menyewa atau menjual petak.

Tuan/Puan hendaklah sentiasa menyelenggara dan memastikan gerai dan apa-apa perkakas yang berkaitan dengan perniagaan berada dalam keadaan bersih.

Tuan/Puan hendaklah mematuhi saiz gerai yang telah ditetapkan dan dilarang membina atau mendirikan apa-apa sambungan atau struktur sama ada kekal atau tidak tanpa mendapat kebenaran daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Tuan/Puan hendaklah mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai (WiIayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1989 dan Undang-Undang Kecil Pasar (Wilayah Persekutuan) 1979.

Bagi tawaran lesen yang melibatkan penyewaan gerai, tuan/puan hendaklah menandatangani tiga (3) salinan Perjanjian Penyewaan Gerai Pasar dan manyempurnakan perkara-perkara berikut:

Setiap salinan perlu distemkan di muka 1;
Setiap salinan perlu ditandatangani oleh tuan/puan dan saksi dengan menggunakan pen dakwat hitam;
Cek atas nama "Bendahari Bandaraya" berjumlah RM 0.00 iaitu "Wang Cagaran" yang terkandung di dalam syarat-syarat penyewaan gerai. ( Hanya penyewa baru sahaja); dan
Salinan borang 49, pendaftaran syarikat (bagl penyewa Pasar Borong Kuala Lumpur sahaja).

Tuan/Puan boleh membuat permohonan untuk melantik pembantu warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.

Bagi penjual makanan dan minuman tuan/puan hendaklah menghadiri dan lulus Kursus Pengendalian Makanan yang dikendalikan oleh Persatuan Kesihatan Environment Malaysia (MAEH) dan mendapatkan suntikan pelalian Typhoid (TY2) di alamat :

Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,
KM 4, Jalan Cheras,
56100 Kuala Lumpur.
Tel: 03-2027 5300. (u.p : Raja Azraei Bin Ramli).
(Sila rujuk Surat Arahan Kursus dan hubungi nombor telafon di atas bagi menentukan tarikh kursus dan sediakan wang RM50.00 bagi bayaran kursus).


Antara lain isi kandungan surat tawaran tersebut, anda perlu menyempurnakan/membawa perkara dibawah dalam masa 30 hari dari tarikh surat tawaran dikeluarkan :

Surat tawaran (salinan asal)

2 keping gambar berwarna berukuran pasport terbaru

Kad suntikan pelalian Typhoid (TY2) dan surat pengesahan Kehadiran Kursus Pengendalian Makanan ( Untuk penjaja makan dan minuman sahaja).

Anda juga dinasihatkan untuk mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi mendapatkan Sijil Pendaftaran Perniagaan (ROB/ROC).

Saturday, 27 August 2011

Kreatif memancing pelanggan

Kredit gambar : www.penangonlinedirectory.com

Kedudukan tapak juga penting dalam menentukan laris atau tidak barangan yang kita jual. Tapak dibahagian hujung sekali biasanya kurang mendapat sambutan. Pengunjung biasanya malas untuk menghabiskan tinjauan sehingga kebahagian hujung. 

Jika barangan yang dijual itu sedikit, susun mengikut jenisnya. Susun atur yang kemas juga menunjukkan yang kita ini seorang yang pembersih. Ini juga penting khususnya untuk peniaga makanan. Gerai yang kelihatan selekeh pula akan menerima persepsi yang sebaliknya.

Jika anda perhatikan, ada juga peniaga yang melonggokkan barangan niaganya. Kebiasaannya untuk barangan kering seperti sandal. Walaupun menjimatkan masa untuk memulakan perniagaan, mereka terpaksa menyelongkar semula untuk mencari saiz yang dikehendaki si pembeli. Ada peniaga yang mengambil jalan mudah menyuruh si pembeli mencari sendiri. Ini bukanlah etika seorang peniaga.

Longgok dan lambak. Ini memang sinonim dengan perniagaan seperti ini. Jika dilihat dimana-mana pasarpun tidak kiralah pasar malam, pasar tani, pasar pagi dan sebagainya. Pelanggan mudah tertarik dengan gerai yang mempunyai barangan yang banyak atau suka saya sebut sebagai "bertimbun".

Di fikiran pengunjung, tentulah gerai sebegini, peniaganya merupakan seorang pemborong. Tentu harganya lebih murah. Jika barangan niaga anda sedikit (walaupun murah), cuba anda berfikiran kreatif untuk membuatnya kelihatan banyak. Ada peniaga yang meletakkan kotak kosong ditengah-tengah barangan jualannya. Anda pernah beli sotong kering yang disaluti gula tu ? Nampak seperti banyak, tapi apabila dibuka bungkusannya ternyata ditengahnya hanyalah plastik kosong.

Sibukkan diri

Pelanggan lebih suka melihat kita membuat kerja. Pada permulaan berniaga dahulu, saya telah membuat pembungkusan siap daripada rumah. Kemudian di tapak berniaga saya cuma susun dan tunggu pelanggan datang membeli. Jualan kurang memberangsangkan. Melalui hari-hari yang suram begitu, membuatkan saya menjadi bosan. Tercetus pula idea untuk membuat pembungkusan semasa berniaga.

Berbekalkan modal permulaan yang tidak seberapa, saya membeli "generator" dan "impuls sealer" saya bawa dari rumah. Hari berikutnya saya mula membungkus di tempat berniaga. Ternyata ada kenaikan jualan. Jadi dari situ saya membuat andaian bahawa, barang yang dibuat dihadapan pelanggan nampak "fresh" dan baru. Pelanggan lebih sukakan benda yang baru. Apabila kita kelihatan sibuk membuat kerja, ini secara tidak langsung menarik perhatian pengunjung untuk melihat lebih dekat apa yang kita buat. Jadi, sibukkan diri anda ketika berniaga.

Lagi satu melalui pemerhatian saya juga, jika ada seorang atau dua orang pembeli di gerai anda membelek-belek barangan jualan, pasti lebih ramai yang datang menjenguk dan seterusnya membeli. Kerana itu ada peniaga yang menyuruh isteri atau anaknya duduk dihadapan seolah-olah ingin membeli barangan yang dipamerkan. Percaya atau tidak, idea tersebut memang boleh diguna pakai.

Selain apa yang saya nyatakan diatas, sumber pencahayaan jangan anda anggap perkara yang remeh. Lebih terang gerai anda, maka lebih tertarik pengunjung untuk melihat gerai anda. "First attention" itu yang penting.

Sekian dulu buat masa ini

Pastikan harga barangan mampu dibeli

Kredit gambar: sayafaiz.blogspot.com

Pasar malam lebih dikenali sebagai tempat yang menawarkan barangan dengan harga yang murah. Pengguna yang berkunjung juga membawa sejumlah wang yang terhad. Rata-rata pengunjung membawa kurang daripada RM100. Bagi penghuni sekitar kawasan pasar malam pula, mereka kebiasaannya hanya turun untuk membeli barangan yang diperlukan sahaja. Jika sudah disetkan di kepala untuk membeli nasi lemak, maka mereka akan turun membeli nasi lemak sahaja. Mungkin ada sedikit lebihan wang untuk membeli barangan lain dalam beberapa ringgit.

Lauk-pauk dan minuman antara menu yang mendapat permintaan tertinggi. Ia digemari dan boleh dinikmati hampir setiap hari oleh segenap lapisan masyarakat. Tambahan pula hidup dikota dimana penduduknya sentiasa sibuk bekerja dan kesuntukan masa untuk menyediakan makanan sendiri.

Jadi, jika anda bercadang untuk menjual barangan dengan harga melebihi RM100.. Fikir-fikirkanlah. Barangan anda mungkin hanya dapat dijual ketika orang ramai menerima gaji.

Antara faktor lain yang harus diambil berat dalam menentukan jenis barangan di pasar malam ialah kaum yang mendiami penempatan tersebut. Jika ramai yang bukan Islam, janganlah pula anda menjual tudung.

Kos permulaaan perniagaan pasar malam


Kredit gambar : onenieadvertising.blogspot.com


Bagi anda yang bermula dari kosong, berikut saya senaraikan peralatan asas berserta harga setiap satunya

1. kaki meja panjang 6 kaki = RM45
2. papan meja satu set = RM45
3. Payung berserta kaki = RM100
4. Alas meja = RM15
5. Bateri kereta = RM100++
6. lampu x 2 = RM30
7. Wayar = RM10 ke RM20
8. Generator cap ayam = RM320 ke RM350

Mana pula nak beli semua barang-barang tersebut? Untuk kaki meja, papan dan payung ramai yang beli di Chow Kit cuma saya tak tahu dimana. Barang-barang tersebut saya beli di Kuang, Sungai Buloh. Berdekatan dengan balai polis. Bersebelahan BHPetrol. Kalau tak salah nama kedai tersebut Bee Bee Decorator.

Generator pula saya beli di Puchong. Anda juga boleh beli di kedai peralatan mesin.

Bagi yang lebih gemarkan kanopi, anda boleh dapatkannya di Pandan Indah. Jika anda perasan, berhadapan Tesco Pandan Indah terdapat Perabot Cempaka. Kedai tersebut tidak jauh dari kedai perabot tersebut. Untuk kanopi gred A bersaiz 8 x 12 kaki saya beli dengan harga RM300. Untuk kanopi bersaiz 6 kaki mungkin dalam separuh harga. Penggunaan kanopi dilihat lebih kemas, Ia juga lebih stabil kerana mempunyai 4 kaki disetiap penjuru. Amat sesuai untuk perniagaan pakaian kerana anda boleh menggantung pakaian pada kanopi tersebut.

Namun begitu, jika anda berniaga seorang diri adalah lebih baik anda menggunakan payung sahaja kerana ia lebih senang dibuka dan ditutup. Pilih payung segiempat. Payung berbentuk bulat tidak berapa sesuai dan anda akan mengalami masalah ketika hujan.

Friday, 26 August 2011

Saiz tapak, sistem pengezonan dan kadar sewa

Kredit Gambar : www.malaysiabest.net 

Saiz petak pasar malam biasanya sama antara satu pasar malam dengan pasar malam yang lain iaitu 6 kaki x 6 kaki. Namun begitu ada juga pasar malam dengan petak bersaiz 8 x 8.

Berkenaan dengan kadar sewaan tapak pula, bergantung kepada penganjur dan persatuan yang terlibat. Kadarnya adalah serendah RM2 sehingga RM5. Bayaran ini adalah untuk upah kutipan sampah. Ada kawasan pasar malam yang telah dinaikkan kadar sewanya untuk bayaran khidmat RELA bagi mengawal trafik.

Salah satu pasar malam yang telah menaikkan kadar sewanya ialah pasar malam Taman Setapak Jaya dari RM2 ke RM4. Ini berikutan penutupan pasar malam Taman Sri Rampai akibat rungutan penduduk dan penyewa kedai di kawasan tersebut. Jadi untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku, pihak persatuan terpaksa mengupah anggota RELA bagi mengawal trafik dan peniaga "rambo" dikawasan tersebut. Peniaga-peniaga baru yang tidak tahu istilah "rambo", sila rujuk entri pertama disini.

Di pasar malam Wangsa Maju Seksyen 1 pula, kadar kutipan sampahnya ialah RM3. Kadar sewaan tertinggi untuk petak pasar malam kendalian saya pula ialah di Bandar Baru Sentul iaitu RM5.

Untuk pasar malam dibawah jagaan MPAJ pula, kadar sewaannya ialah RM4.

Ada juga pasar malam yang tidak mengenakan sebarang bayaran. Untuk peniaga yang nak cuba buka payung, boleh cuba di pasar malam Seksyen 10. Setiap hari rabu. Tiada persatuan yang menjaga pasar malam tersebut. Tapi sampah kena sapu sendiri. Pasar malam ini hanya sesuai untuk berniaga makanan. Kurang daripada 20 gerai yang dibuka.

Ada sesetengah pasar malam telah dilaksanakan sistem pengezonan. Iaitu pembahagian kawasan barang kering dan basah. Untuk zon barang kering, anda cuma boleh niagakan barang-barang seperti pakaian, kasut, barang-barang kulit dan seumpamanya. Untuk zon barang basah pula ia dkhaskan untuk makanan. Antara pasar malam yang telah dilaksanakan sistem ini ialah pasar malam Taman Melati Gombak, Bandar Baru Sentul dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (setakat yang saya tahu). Pasar malam Wangsa Maju juga ingin dilaksanakan sistem yang sama tetapi telah mendapat bantahan daripada para peniaga.

Jadi jika anda ingin meniaga "rambo", pastikan dahulu kawasan pengezonan yang terlibat.

Jangan jadi biskut

Kredit Gambar : safirahahsanuddin.blogspot.com
Katakanlah anda sebagai pelanggan telah membeli sebungkus nasi lemak di sebuah gerai. Ternyata nasi lemak tersebut sedap dan harga pula berpatutan. Minggu hadapannya anda ingin membeli lagi sekali dengan peniaga yang sama. Puas anda keliling satu pasar malam tapi tidak berjumpa dengan peniaga tersebut. Anda pulang dengan perasaan hampa.

Sebagai peniaga makanan, sedap sahaja masih tidak mencukupi. Disiplin kehadiran juga perlu dititik beratkan.   Anda boleh kehilangan pelanggan tetap jika anda berniaga "ikut mood". Pelanggan tersebut mungkin akan mencari peniaga lain. Bukan itu sahaja, peniaga sebegini juga tidak berapa digemari oleh peniaga sebelah menyebelah. Ini menunjukkan anda berniaga main-main. Begitu juga dengan penganjur atau persatuan.

Jika ingin berniaga, cuba terapkan disiplin terhadap diri anda. Tunjukkan kepada persatuan, peniaga sekeliling dan pelanggan bahawa anda serius untuk berniaga. Jika anda terus berkelakuan begitu, tidak mustahil pihak persatuan akan memberikan tapak tersebut kepada orang lain.

Bercakap perihal tapak juga. Katakanlah anda seorang peniaga yang konsisten. Setiap minggu anda tidak akan ketinggalan untuk berniaga. Tetapi anda sering bertukar tempat. Sekejap dihujung sana, sekejap dihujung sini, sekejap pula dibahagian tengah. Sikap sebegini bukan hanya menyukarkan anda mendapat tapak yang tetap. Pelanggan juga sukar untuk mencari anda.

Jika anda rasa makanan yang anda jual berkualiti, sedap dan harga berpatutan, tetapkan kedudukan anda disitu untuk memudahkan pelanggan mencari.

Sediakan wang kecil secukupnya

Kredit gambar : Ada Apa Dengan Sepuluh Sen?
Wang kecil jangan dianggap remeh. Fenomena yang biasa berlaku dikalangan peniaga bumiputera ialah ketiadaan wang kecil. Disebabkan ketiadaan wang kecil, kita boleh kehilangan pelanggan. Jangan terlalu mengharapkan peniaga lain, mereka juga memerlukan duit kecil untuk kegunaan sendiri.

Luangkan sedikit masa untuk pergi membuat tukaran wang di bank berdekatan (sebelum memulakan perniagaan). Itu yang saya praktikkan selama ini. Tapi malangnya peniaga sekeliling pula mengambil kesempatan menjadikan saya sebagai "money changer". Dimana silapnya? Tak sampai 10 minit sekali orang yang sama ingin menukar wang. Sudahnya saya pula terpaksa menukar dengan peniaga lain.

Jangan buang masa ketika berniaga pergi dari satu gerai ke satu gerai untuk tukaran wang. Bukan semua pelanggan boleh menunggu lama. Yang paling penting jangan susahkan jiran perniagaan anda.

Kelemahan pasar malam

Pada entri terdahulu saya ada menulis tentang kelebihan berniaga di pasar malam. Pada entri kali ini pula saya akan nyatakan tentang kelemahan utama perniagaan dengan sistem ini. Melihat kepada imej yang dilampirkan, pasti anda sudah dapat mengagak kelemahan utamanya.

Didalam filem, watak-watak masih boleh mengawal machonya ditengah hujan. Tetapi di alam realiti, tidak buat para peniaga. Bohong kalau dikatakan tidak ada secalit pun perasaan ralat dalam hati ketika berniaga sewaktu hujan. Paling terjejas teruk ialah perniagaan pakaian dan lauk pauk. Untuk peniaga pakaian, proses memasang kanopi dan menyusun sahaja sudah mengambil masa yang lama. Bayangkan proses memasang baru separuh jalan dan tiba-tiba hujan turun. Kain tidak boleh terkena air. Alamat hapaklah baunya.

Begitu juga lauk pauk. Benda sudah dimasak. Kalau boleh kena habiskan hari tu juga. Sebab itu mereka ini tiada pilihan lain kecuali berniaga juga walaupun terpaksa pulang lewat.

Kelemahan kedua yang dapat saya perhatikan pula ialah masalah tapak. Biasanya tapak pasar malam akan berkongsi dengan tapak parking kereta. Buat empunya kereta yang tahu hari pasar malam ditempat tersebut, mereka akan mencari lokasi lain untuk menempatkan kereta masing-masing. Yang menjadi permasalahan utamanya ialah bukan semua orang tahu disitu ada pasar malam terutamanya orang luar. Saya sendiri pernah bertengkar dengan pemilik kereta. Nak salahkan pemilik kereta memang tak boleh. Tapi payung dan meja sudah dipasang, barang juga telah disusun. Saya terpaksa pekakkan telinga.

Kelebihan pasar malam

Kredit gambar untuk: http://skyangels-travel.com/page.php?10

Seperti mana-mana jenis perniagaan pun, berniaga di pasar malam tetap mempunyai kekurangan. Itu satu hal yang akan saya ceritakan kemudian. Pada posting kali ini, saya ceritakan dahulu kelebihannya.

Pasar malam merupakan lubuk emas bagi peniaga khususnya peniaga makanan. Jika anda mempunyai produk makanan yang sedap dan unik, anda akan mendapat pelanggan yang tetap dan ramai. Apa yang saya nyatakan bukan bermakna perniagaan barang kering kurang mendapat sambutan. Tetapi perniagaan makanan yang menjaga standard dan kualiti akan mempunyai pelanggan tetap yang "berulang". Kenapa saya katakan begitu ?

Kebiasaannya, pasar malam akan hanya diadakan sekali sahaja dalam seminggu di sesuatu tempat. Anda hanya akan berjumpa pelanggan yang sama seminggu sekali. Jika anda mempunyai jenis makanan yang unik dan sedap, maka anda akan berjumpa pelanggan yang sama setiap minggu. Paling tidak pun 2 kali dalam sebulan. Cuba anda bayangkan pula perniagaan yang dijalankan pada tempat yang sama setiap hari. Sebagai contoh, anda berniaga apam balik di pasar pagi. Pasar tersebut pula diadakan pada setiap hari di tempat yang sama. Pelanggan tentu akan merasa muak untuk menjamah benda yang sama setiap hari bukan?

Kekuatan perniagaan makanan juga terletak pada promosi. Perniagaan makanan berpotensi untuk mendapatkan promosi secara percuma. Sebagai contoh, anda berniaga pecal (makanan berasaskan sayur dan kuah kacang). Pecal anda sedap dan murah. Pelanggan yang membeli, secara tidak langsung akan membuat promosi secara percuma kepada rakan-rakan dan keluarganya. Maka akan ada pertambahan pelanggan pada setiap minggu untuk merasa pecal yang anda jual tersebut.

Apa yang penting, pastikan produk anda unik. Jangan cuba meniru perniagaan yang sedia ada. Walaupun rezeki masing-masing, tetapi kita mahu elakkan persaingan.


Perniagaan pasar malam

Kredit untuk : http://expathomes.com.my/market-pasar-malam-to-tourists/


Seperti yang telah saya nyatakan pada post terdahulu, saya akan lebih banyak menulis tentang perniagaan pasar malam kerana itu jenis perniagaan yang saya lakukan. Barang apa yang saya niagakan biarlah rahsia. Sejarah berniaga pasar malam ni bermula selepas hari raya aidilfitri pada tahun 2010 (ya.. baru lagi). Seperti kebanyakan orang, perasaan takut dan malu memang ada untuk kali pertama. Hampir seminggu saya pergi ke pasar malam dengan barang yang hendak diniagakan. Tapi untuk membentangkan meja terasa was-was tambahan pula saya berniaga seorang diri. Begitulah juga untuk hari-hari yang berikutnya. Rasa takut dan malu bercampur baur.

Pada minggu yang seterusnya, saya cuba kumpulkan semangat dan buang perasaan malu tersebut sejauh mungkin. Pendatang asing boleh datang kesini mencari rezeki dengan berniaga. Kenapa saya sebagai bumiputera perlu takut. Ya.. saya perlu menganggap diri sendiri sebagai warga asing yang mencari rezeki di negara orang. Berbekalkan semangat "warga asing" didalam diri, akhirnya saya berjaya membuka langkah pertama memasang gerai jualan. Pada hari itu juga saya diperkenalkan dengan istilah "rambo". Kepada yang belum pernah berniaga di pasar-pasar, istilah "rambo" bermaksud kita membuka gerai yang tiada orang berniaga pada hari tersebut. Kita meminjam tapak orang lain atau memang tiada orang berniaga di tapak tersebut.

Di setiap pasar malam ada penganjurnya. Untuk mendapatkan info tapak kosong, anda boleh bertanya pada penjaga tapak atau anda boleh juga bertanya kepada peniaga berdekatan tapak kosong tersebut. Peniaga sepenuh masa biasanya akan hadir dalam masa jam 4.00 ke pukul 5.30 petang. Ada juga peniaga sambilan yang berniaga  selepas waktu kerja. Kebiasaannya, jika selepas pukul 6.00 masih tiada sesiapa berniaga. kita sebagai peniaga "rambo" boleh membuka gerai di tapak tersebut.


Memulakan perniagaan


Untuk memulakan perniagaan, persediaan mental perlu diutamakan terlebih dahulu. Disamping bajet, seseorang perlu mengenalpasti risiko dan persaingan jenis perniagaan yang ingin diceburi. Apabila disebut sahaja perniagaan, anda perlu memiliki modal yang mencukupi. Jika anda baru hendak berjinak-jinak dalam dunia ini, cuba elakkan daripada membuat pinjaman kerana anda tidak tahu apa yang bakal berlaku. Jika anda langsung tidak mempunyai modal, adalah disarankan anda bekerja dahulu untuk mengumpulkan dana yang diperlukan.

Ramai yang menceburi dunia perniagaan online diluar sana kerana ia mudah, tidak memerlukan modal yang besar, tidak perlu bertemu pelanggan, tidak perlu menyewa kedai dan tidak perlu juga menyimpan stok yang banyak. Namun promosi yang kuat dan berterusan amat diperlukan bagi menarik lebih ramai pelanggan. Walaupun berpotensi untuk mendapatkan pelanggan yang jauh, perniagaan online mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Anda memerlukan khidmat pengangkutan untuk tujuan penghantaran. Barang niaga anda juga perlu mempunyai jangkamasa luput yang panjang. Ketahanan produk perlu diambilkira. Jika anda membuat penghantaran sendiri, sudah tentu anda tidak mahu berulang-alik menggantikan produk yang rosak.

Blog ini dibina untuk membincangkan permasalahan untuk sebarang jenis perniagaan. Namun saya sendiri sebagai peniaga pasar malam mungkin akan lebih banyak menulis mengenai perniagaan yang saya ceburi ini. Saya bukanlah seorang pakar dan masih lagi melakukan "try and error", saya hanyalah  insan biasa seperti anda yang ingin berkongsi maklumat mengenai dunia perniagaan.

Tinggalkan link anda disini