Buat pengunjung yang dihormati sekalian. Segala coretan yang terkandung didalam blog ini adalah berdasarkan pengalaman penulis berniaga. Ia tidak ditiru atau diambil daripada mana-mana laman web atau blog lain. Jika ada persamaan, ia hanyalah secara kebetulan dan tidak dirancang.

Anda berhak mengambil sebarang artikel disini, tetapi biarlah secara berhemah dengan membuat backlink atau pautan semula ke alamat atau url asal.

Segala tips dan panduan adalah berdasarkan idea penulis sendiri dan tidak semestinya betul dan berjaya diikuti. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan pada bahagian komen. Ini hanyalah sebuah blog untuk tujuan perbicangan. Ramai lagi yang arif tentang selok belok perniagaan di luar sana. Sekian..

Tuesday, 12 November 2013

Langkah Awal Sebelum Memulakan Perniagaan Pasar Malam


Pasar malam merupakan perniagaan yang amat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Lokasi strategik dan harga barang yang murah menjadikan pasar malam sering menjadi tumpuan tidak kira kepada penduduk dalam mahupun luar bandar. Maka tidak hairanlah ramai peniaga Melayu khususnya menceburi bidang perniagaan ini yang rata-ratanya golongan muda.
Perniagaan pasar malam boleh dianggap sebagai lubuk emas bagi peniaga Melayu. Bukan sahaja kerana kos sewa tapak yang murah, akan tetapi kos modal pusingan juga sangat rendah. Ini menjadikan peniaga mampu meraih keuntungan sehingga mencecah lebih 100% secara purata. Namun begitu, untuk mencapai keuntungan maksima, seseorang peniaga itu perlu bijak memilih jenis perniagaan yang sesuai untuk dipasarkan di pasar malam.
Tentang pengunjung pasar malam pula, mereka lebih tertumpu membeli produk jenis makanan berbanding barangan fizikal seperti pakaian, beg dan sebagainya. Jelas dilihat perniagaan barang makanan lebih mendominasi, akan tetapi itu tidak bermakna barangan fizikal tidak mendapat perhatian. Cumanya, kebiasaan barangan fizikal mempunyai kos modal yang agak tinggi berbanding makanan. Tetapi, kedua-duanya mempunyai kebaikan dan kekurangan tersendiri. Barang makanan tidak tahan lama dan barangan fizikal adalah sebaliknya.

Langkah Awal Sebelum Memulakan Perniagaan Pasar Malam

#1 Menentukan Produk Jualan

Jika langkah awal kita silap memilih produk, sistem pusingan modal sedikit sebanyak akan terganggu. Tentukan sama ada produk kita boleh diterima di semua tempat atau sebahagian lokasi. Sebagai contoh, lokasi pasar malam di kawasan kampus universiti yang rata-rata didominasi 80% pelajar. Seorang peniaga telah memilih produk ayam golek untuk dipasarkan. Seperti yang kita tahu, harga seekor ayam golek sekitar RM24 seekor dan RM12 separuh bahagian.
Seperti yang kita maklum, purata seorang pelajar membelanjakan wang di pasar malam adalah sekitar RM6 hingga RM10 sahaja. Tetapi, ini hanyalah satu pemerhatian jauh sahaja. Kelancaran proses jual beli bergantung kepada sesebuah lokasi kerana keuntungan sesebuah perniagaan dinilai dengan kuasa membeli.

#2 Menentukan Lokasi

Sebagai peniaga, mencari lokasi strategik adalah salah satu elemen yang sangat penting. Tetapi umumnya, tapak lokasi pasar malam itu sendiri memang menjadi tumpuan ramai kerana ia dikhususkan pada hari-hari tertentu di sebuah kawasan. Dalam seminggu mempunyai 7 hari. Maka kita perlu bijak mencari 4 hingga 7 buah lokasi berasingan utama yang memberikan keuntungan yang banyak. Kuasa membeli di sebuah tapak pasar malam bergantung kepada majoriti penduduk di situ.

3# Menjaga Hubungan Dengan Pelanggan

Sebagai peniaga, perkara yang paling utama perlu dijaga adalah etika diri dan sikap. Jangan sesekali kita memberikan layanan kurang mesra kepada pelanggan. Tidak mustahil, dengan senyuman dan sikap peramah kita, pelanggan tersebut akan datang kembali membeli. Perkara-perkara kecil sebegini banyak tidak diambil peduli. Tambah lagi jika perniagaan kita bertambah maju, janganlah sesekali kita berlagak sombong. Jika kita bersikap acuh tidak acuh kepada pelanggan, mereka akan lari mencari peniaga yang lain. Pasar malam bukan sahaja tertumpu kepada satu-satu makanan sahaja, tetapi banyak peniaga menjual makanan yang sama. Justeru itu, peniaga mana yang bijak memenangi hati pelanggan maka dialah yang mendapat untung. 

0 comments :

Post a Comment